KULIT BERMASALAH


APABILA melihat orang yang mempunyai kulit bertompok merah, bersisik, kadangkala merekah dan berdarah, ramai cuba menjauhkan diri kerana bimbang dijangkiti, tanpa menyedari tindakan itu hanya membuatkan pesakit berasa lebih rendah diri.

Tanda disebut di atas adalah sebahagian daripada ciri penyakit kulit dipanggil psoriasis. Jika anda berselisih dengan orang yang ada ciri seperti ini, jangan takut kerana ia tidak berjangkit.

Psoriasis adalah penyakit kulit kronik yang dihidapi kira-kira dua hingga tiga peratus penduduk setiap negara di seluruh dunia. Penyakit ini ada dalam semua kelompok masyarakat tanpa mengenal umur, jantina dan keturunan.

Biasanya simptom psoriasis bermula ketika pesakit masih muda, tetapi kebanyakan pesakit mula mengalami masalah ini dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun.

Bagaimana bentuk dan rupa psoriasis? Ketua Jabatan Dermatologi Universiti British Columbia merangkap Pengarah Perubatan Pusat Penjagaan Kulit, Hospital Besar Vancouver, Kanada, Profesor Harvey Lui, berkata psoriasis ada lima ciri utama iaitu tompokan kulit yang timbul, berwarna merah menyala dan bersisik perang berkilat.

Tanda-tanda

Ianya berlainan bagi setiap orang dan termasuklah :
  • Keguguran sisik pada kulit
  • Tompok-tompok merah pada kulit kepala, siku, lutut dan bahagian lain badan.
  • Gatal tetapi pada tahap yang berbeza-beza

Jenis-jenis psoriasis

  • Paling lazim adalah psoriasis yang bertompok
  • Di kalangan kanak-kanak biasanya terdapat guttate psoriasis.
  • Jenis teruk yang memerlukan rawatan di hospital dipanggil erythrodermic psoriasis
  • Lampin psoriasis
  • Pustular psoriasis- adalah bentuk psoriasis yang sangat teruk di mana ia boleh menimbulkan kesakitan