MATI KERANA RESDUNG??


PENGETAHUAN MENGENAI RESDUNG
RAMAI beranggapan rawatan penyakit sinusitis atau lebih dikenali sebagai
resdung mengakibatkan komplikasi kematian, malah tidak kurang juga yang
mengatakan bahawa penyakit ini sebenarnya tidak dapat dirawat. Sejauh manakah
benarnya tanggapan ini?

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Universiti Kebangsaan
Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Abdullah Sani Mohamad menegaskan, penyakit
resdung sebenarnya dapat dirawat dengan rawatan ubat-ubatan seperti antibiotik
atau antihistamin atau ubat analgesik bagi mengurangkan radangan. Selain
mengurangkan radang dan alahan terhadap sesuatu ia juga berfungsi untuk membuka
ostia (ruang) yang tersumbat.

"Kebanyakan sinus akut dapat diredakan dengan rawatan ubat-ubatan di mana
antibiotik berfungsi untuk membunuh kuman yang telah membiak," katanya.

Sebaliknya, sekiranya ia tidak dapat dirawat dengan ubat-ubatan, penyakit ini
perlulah dirujuk kepada pakar.

Menurut Dr. Abdullah Sani, pakar-pakar ENT akan menggunakan endoskop dan
meletakkan ubat-ubatan di pintu-pintu ostia terus masuk ke rongga hidung untuk
membuka ostia ini.

Bagaimanapun, sekiranya prosedur ini tidak berjaya, doktor terpaksa melakukan
pembedahan kecil iaitu dengan menusuk jarum masuk ke dalam rongga sinus maxilla
dan menyembur air untuk mengeluar dan membasuh rongga sinus.

"Melalui kaedah ini, ia dapat melegakan sakit yang dialami serta merta dalam
tempoh 24 jam," katanya.

Beliau memberitahu, kaedah terbaru dalam rawatan sinus ialah kaedah pembedahan
yang dikenali sebagai endoscopic sinus surgery untuk membesarkan pintu-pintu
ostia tersebut.


Kaedah pembedahan

Menurut beliau, dengan menggunakan kaedah ini, doktor dapat melihat lebih dekat
pintu ostia dan faktor-faktor yang berpunca dari keturunan (polip), laluan
turbinate.

Ini kerana punca-punca inilah yang menyebabkan ostia tersumbat. "Kaedah
pembedahan ini bukan sahaja dapat membuka ostia menjadi lebih besar, malah ia
dapat membesarkan pintu ini supaya ia tidak tersumbat lagi," katanya.

Pada masa yang sama ia juga dapat mengeluarkan polip (ketumbuhan) di samping
memperbetulkan kelainan turbinate hidung dan memastikan faktor-faktor yang
menyebabkan sinusitis. Bagi pesakit yang menghidap sinus kronik, kaedah yang
sama juga digunakan untuk membuka ostia atau rongga sinus supaya semua cecair
dapat mengalir semula secara normal.


APAKAH DIA SINUS

Sinus merupakan rongga atau ruang udara yang berada di tulang muka.

Ramai beranggapan tulang muka padat (solid) sebenarnya mengandungi ruang-ruang
udara.

Ruang-ruang udara ini, menjalankan fungsinya bagi meringankan tulang-tulang
kepala untuk dengungan (resonance) normal suara manusia.

Ruang-ruang sinus ini sebenarnya mempunyai pintu yang terbuka yang menghubungi
ruang tersebut dengan hidung.

Sehubungan itu, pintu-pintu perhubungan ini menyebabkan penyakit di hidung
boleh masuk ke dalam sinus di mana ia sering keluar ke ruang hidung.

APA YANG TERDAPAT PADA SINUS YANG NORMAL

Pada sinus yang normal, terdapat ruang udara dan sedikit cecair yang sentiasa
dihasilkan oleh dinding sinus.

Seperti dinding ruang hidung, ia sentiasa dibasahi bagi mengawal kelembapan
(humidity) yang terdapat dalam paru-paru mengikut kesesuaian paru-paru manusia.

Bagaimanapun, cecair ini tidak statik sentiasa mengalir keluar dari sinus
melalui pintu dan terus ke hidung.

Dari hidung ia akan mengalir masuk ke belakang hidung terus masuk ke dalam
tekak.

Kebanyakan penyakit sinus disebabkan oleh penya-kit-penyakit hidung.

Terdapat empat ruang sinus utama iaitu :

* Sinus maxilla
* Sinus ethmoid
* Sinus frontal
* Sinus sphneoid

APAKAH SINUSITIS

Sinusitis merupakan sejenis penyakit di mana terjadinya radangan pada rongga
sinus yang disebabkan oleh jangkitan kuman.

Antara kuman yang menjadi punca penyakit ini ialah:

* Streptococcus
* Staphylococcus

Pada keadaan normal, kedua-dua jenis kuman ini sememangnya sedia ada terdapat
pada rongga hidung tetapi ia tidak menyebabkan apa-apa penyakit.

Malah, dengan sistem pertahanan tubuh yang kuat ia dapat dikawal. Sebaliknya,
sekiranya berlakunya kepincangan pada pertahanan tubuh bakteria ini dapat
membiak tanpa kawalan dan menyebabkan sinusitis.

PUNCA BAKTERIA MEMBIAK

Punca utama yang menyebabkan bakteria membiak apabila pintu-pintu rongga sinus
tersumbat. Ia tersumbat apabila berlakunya:

a. Radangan pada hidung.

Faktor-faktor yang menyebabkan radang hidung ialah apabila berlakunya:

* Jangkitan kuman dan alergi (alahan).

Sekiranya keadaan ini berlaku dinding hidung membengkak. Apabila lapisan ini
membengkak ia akan menutup pintu sinusitis.

b. Ketumbuhan atau polip pada hidung di mana tumor ini menutup pintu rongga
sinus (ostia) seperti ketumbuhan malignant (kanser di hidung)

Apabila ostia tertutup cecair daripada rongga sinus tidak dapat keluar dan
bertakung.
Apabila berlakunya takungan ini, bakteria akan membiak yang menyebabkan
berlakunya sinusitis.

c. Jangkitan pada gigi geraham atas

Akar umbi gigi geraham atas berada di sinus maxilla. Apabila seseorang
mengalami sakit gigi, ia akan menjangkiti akar gigi dan keluar ke sinus.
Keadaan ini berlaku sekiranya gigi yang berpenyakit tidak dapat dikeluarkan
sepenuhnya oleh doktor gigi.
Ada kalanya dalam proses mencabut gigi, akarnya terpatah dan tertinggal.

d. Genetik

Sinusitis bukanlah penyakit genetik, tetapi alahan yang diwarisi yang
menyebabkan sinusitis itu merupakan genetik.

JENIS SINUSITIS

* Sinus akut
* Sinus kronik

SINUS AKUT

Ia berlaku dalam tempoh dua minggu bermula dengan jangkitan rhinitis atau
serangan alahan yang berulang-ulang yang serius pada hidung.
Keadaan ini menyebabkan tersumbatnya hidung.


Antara ciri-cirinya ialah :

* Hidung berair, tersumbat dan terjadinya rasa sakit berdenyut di muka dan
bahagian kepala bahagian depan terutama di dahi dan pipi.
* Serangan biasanya berlaku pada waktu pagi dan semakin berkurangan pada waktu
petang.
* Rasa sakit apabila seseorang tunduk dan sujud.

SINUS KRONIK

Sekiranya sinus akut tidak dirawat dengan sempurna, cairan dalam rongga sinus
itu semuanya dikeluarkan dengan rawatan.

Sehubungan itu jangkitan akan berlaku berterusan, tetapi tahap keterukannya
tidak seteruk sinusitis pada peringkat akut.

Serangan sinusitis akut yang kerap berlaku akan menyebabkan penyakit ini
berubah menjadi kronik.

Seseorang yang menghidap sinusitis pada peringkat kronik, pesakit akan
mengalami:

* Sakit di muka berkurangan
* Tanpa demam tetapi hingus bertambah
* Cecair hingus berwarna hijau dan berbau busuk

Ada kalanya bau busuk ini tidak dapat dirasai atau disedari oleh pesakit tetapi
disedari oleh ahli keluarga atau rakan-rakan sekeliling.

* Cecair akan keluar melalui belakang hidung
* Ada kalanya hidung tersumbat


INDIVIDU BERISIKO

* Mereka yang alah kepada habuk dan makanan yang menyebabkan hidung mereka
tersumbat
* Mereka yang mempunyai ketumbuhan dalam hidung
* Mereka yang mempunyai kelainan (abnormality) dalam hidung seperti septum
dinding pemisah hidung yang bengkok
* Turbinate dinding tepi hidung terdiri daripada tiga turbinate iaitu
tulang-tulang dinding yang mempunyai para.
Mereka yang mempunyai turbinate yang besar, berisiko untuk mendapat sinusitis
kerana ia menyumbat sinus.

KOMPLIKASI

Sinusitis yang tidak dirawat dengan sempurna boleh mengakibatkan komplikasi
serius kepada kanak-kanak dan orang dewasa.

* Kanak-kanak
Sinusitis di kalangan kanak-kanak menyebabkan ia merebak ke dalam mata,
mengakibatkan jangkitan sellulitis dan nanah (abses) mata. Sekiranya ia
dibiarkan, ia boleh menyebabkan mata menjadi buta.

Punca yang menyebabkan kanak-kanak berisiko menjadi buta kerana dinding pemisah
ethmoid dengan mata sangat tipis di mana sinus frontal mereka masih belum
terbentuk.

Sehubungan itu nanah akan dikeluarkan dari rongga mata.

Doktor akan membuat satu laluan supaya cecair dari sinus ethmoid dapat
dikeluarkan dari hidung dan ia tidak bertakung lagi.

* Dewasa
Bagi orang dewasa, nanah dari sinus frontal tidak dapat keluar dari hidung dan
akan masuk memenuhi ruang dalam otak. Dinding pemisah ini menjadi semakin tebal
dan sinus frontal telah terbentuk dengan sempurna.

Bagaimanapun, keadaan ini mengakibatkan ostia mudah tersumbat. Bahagian sinus
maxilla merupakan kawasan yang sering dijangkiti sinusitis, tetapi
komplikasinya amat jarang berlaku.

Ini kerana nanah tidak boleh menembusi dinding maxilla yang tebal. Namun,
sekiranya nanah merebak ke dalam otak, pesakit perlu menjalani pembedahan sinus
frontal dan pembedahan neurosurgery. Bagi kes-kes seumpama ini, kadar kematian
meningkat hingga 40 peratus.